Tuesday, May 7, 2013

Renungan PRU 13

Sebelum saya memulakan penulisan ini, saya terfikir samada nak tulis dalam bahasa Melayu atau bahasa english. Last-last, rasanya mungkin bahasa sama dengan nama blog ni, rojak je dua-dua.. tapi lebih kepada bahasa Melayu sebab itu golongan yang saya nak tujukan penulisan kali ini. Penulisan ini agak panjang kerana saya akan merumuskan hampir kesemua yang saya ingin luahkan berkenaan PRU 13 dan selepas ini insyaAllah saya tidak akan berkata apa-apa lagi dah mengenainya. Jadi sekiranya anda telah bosan membaca hal-hal politik dan PRU silalah berhenti sahaja di sini. Samada anda menyokong PR atau BN, we are still friends and I will not judge you for your choice.

Setelah sekian lama saya mengelakkan diri daripada memberi apa-apa komen terbuka berkenaan politik tanah air kerana saya dapati ramai orang yang sangat jumud dengan pola pemikiran mereka apabila berlaku perbincangan berkaitan dengan politik, agama, atau kaum. Dan bertambah-tambah lagi apabila ketiga-tiga perkara ini digaul-gaulkan bagaikan ramuan kek. Memang meletup-letup. Tidak perlu apa-apa fakta ataupun pertimbangan pun, ia akan terus merosot menjadi caci-mencaci dan hina-menghina. Sesuatu yang sangat tidak selesa bagi diri ini, jadi saya elakkan sejauh mungkin... namum begitu ada perkara-perkara yang terlalu besar dan terlalu kuat memberi kesan. Dan antara perkara tersebut adalah Pilihanraya Umum ke-13 yang baru je berlalu.

Bagi mereka yang masih belum jelas, saya menyokong Pakatan Rakyat. Saya tidak pernah percaya apa-apa fitnah berkenaan tingkah laku Anwar Ibrahim dan saya masih menganggap dialah sebenarnya calon terbaik sebagai perdana menteri Malaysia dalam masa terdekat ini.

Banyak perkara yang saya sayangkan tentang negara Malaysia ini, dan saya percaya bahawa kita sebagai sebuah negara sebenarnya mempunyai kebolehan dan kapasiti melebihi daripada kebanyakkan negara di dunia ini (termasuklah Singapura, Korea dan Jepun sekalipun). Saya percaya bahawa bumi bertuah Malaysia ini mempunyai rakyat-rakyat yang pandai dan kuat berusaha, dan hasil bumi yang cukup lumayan. Cukup untuk kita semua. Melebihi daripada cukup untuk kita semua. Namun, kebanyakkan daripada hasil yang lumayan ini dibolot oleh pihak-pihak tertentu sahaja dan tinggallah sedikit untuk rakyat jelata. Apabila rakyat jelata dibaling tulang dan rakus meratahnya, pihak-pihak ini perintahkan pula bahawa rakyat patut bersyukur dapat yang itu, kalau tak, tak dapat apa-apa pun. Mana-mana pihak yang cuba untuk menyatakan keadaan ini, membetulkan kezaliman ini, dilemparkan fitnah dan dipenjarakan.

Saya cukup kasihan dengan keluarga-keluarga di Malaysia, dimana kedua-dua suami dan isteri kena membanting tulang, mencari sesuap rezeki, anak terpaksa ditinggalkan di pusat jagaan kerana tidak mampu untuk menampung kos kehidupan yang terlalu tinggi sehingga tak cukup hasil daripada hanya si suami. Sedangkan negara kita kaya-raya. Saya cukup kasihan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang belum mula bekerja lagi sudah terpaksa menanggung beban hutang. Sedangkan negara kita kaya-raya. Saya cukup kasihan dengan orang-orang asli di bumi Sarawak, yang sehingga kini masih dianggap menumpang tanah kerajaan dan langsung tertinggal dalam pembangunan negara. Sedangkan negara kita kaya-raya. Saya cukup kasihan dengan rakan-rakan yang mengadu tentang harga barang, harga tol, harga minyak, harga rumah, hutang yang kian bertambah. Sedangkan negara kita kaya-raya.
Sedangkan negara kita kaya-raya.
Sedangkan negara kita kaya-raya.

Alhamdullillah saya tidaklah tergolong dalam golongan yang miskin, saya bersyukur. Ada kawan-kawan yang pernah bertanya, "Apa yang kerajaan buat kepada kau yang kau marah sangat dengan kerajaan?". Alhamdullillah buat masa ini saya boleh katakan tidak ada apa-apa sangat yang directly kepada saya yang boleh menyebabkan saya marah sangat. Tapi suatu masa dahulu, even ayah kawan karib saya pernah ditangkap bawah ISA. Saya lihat penipuan dan penindasan di mana-mana. Penyalahgunaan kuasa dan harta rakyat yang tanpa segan silu, malah dengan penuh bongkak dan berbangga. Malah makin menjadi-jadi. Jadi datanglah PRU 13. Dan saya sangat-sangat mengharapkan semoga Allah selamatkan Malaysia daripada golongan ini dan meletakkan pemimpin-pemimpin yang dapat memberi khidmat yang sebenar kepada rakyat. Yang tidak meminta-minta untuk berterima kasih kerana dia sedari bahawa itu adalah tanggung jawabnya dan sekiranya dia leka dan buatkan kurang daripada yang terbaik, maka dia telah bersalah dan berdosa kepada rakyat.

Itulah harapan saya. Itulah doa saya. Dan bagi saya tidak cukup sekadar harap dan berdoa, perlu untuk bersama-sama berusaha membawa perubahan ini. Maka saya pun menawarkan diri sebagai PACA (Polling Agent, Counting Agent) bagi PAS di Puchong. Saya mahu menjadi sebahagian daripada perubahan ini. Ini kalilah....

Saya datang awal pukul 7 pagi lagi di pintu belakang Sek. Men. Sri Serdang di mana saya bertugas di saluran 2. Hanya dalam pukul 7.40 baru kami dibenarkan masuk. Berdebar-debar juga rasa menggalas tanggungjawab ini. Semasa kursus PACA kami diberitahu untuk memerhatikan segala ruang dan peluang dimana mungkin berlaku penyelewengan. Perhatikan muka-muka pengundi, agak-agak lebih kurang tak dengan umur mereka daripada nombor IC mereka. Perhatikan kertas-kertas undian, dimasukkan ke dalam kotak-kotak seperti sepatutnya, tidak dibawa keluar, tidak diberi lebih. Perhatikan tempat mengundi, pen disediakan, tiada alas yang mungkin menyebabkan kertas undi terkoyak. Kalau ada apa-apa syak atau ragu-ragu segera mengadu kepada Ketua Tempat Mengundi(KTM). Saya cuba laksanakan sebaik mungkin.

Alhamdullillah di tempat mengundi yang saya bertugas, semua petugas-petugas SPR (yang sebenarnya hanya cikgu-cikgu biasa di sekolah itu sahaja) tidak menimbulkan apa-apa masalah dan memberi kerjasama dengan baik. Segalanya berjalan lancar. Sampailah petang, tiba masa untuk mengira undi.

Satu persatu kertas undi ditunjukkan kepada kami (terdapat 3 PACA, saya wakil PAS, ada wakil daripada DAP dan BN). Seorang petugas membuka kertas undi, seorang yang mengumumkan siapa yang diundi dan tunjukkan kertas undian, seorang untuk masukkan ke dalam kotak BN dan seorang lagi untuk masukkan ke dalam kotak PAS (atau DAP waktu perkiraan parlimen). Perkara inipun kami lihat dengan penuh teliti kerana semasa kursus PACA diingatkan kadang-kadang secara sengaja atau tidak sengaja kertas undi dimasukkan ke dalam kotak yang salah. Dengan cara ini, cepat sahaja selesai mengira hasil undian saluran 2. Pukul 7.30 telah selesai kira kedua-dua undian dun dan parlimen. Borang 13 (jumlah kertas undi yang dikeluarkan) dan borang 14 (jumlah undian yang dimenangi calon) telah diisi dan ditandatangani oleh ketiga-tiga PACA dan KTM. Selesai sahaja perkiraan terus sahaja kami memberitahu kepada pusat kawalan masing-masing keputusan yang didapati. Dan di situ terus mereka dapat tahu berapa jumlah undian yang dimenangi. Di saluran saya terdapat lebih kurang 440 kertas undi yang dikeluarkan. Setahu saya maksimum undian di satu saluran adalah 700. So paling-paling lama pun sepatutnya by pukul 9.30 tu dah dapat tahu dah keputusannya.

Tengok-tengok by pukul 1.30 pagi pun belum ada lagi keputusan rasmi. Saya jadi sangat-sangat musykil. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas daripada di saluran apabila semua kertas undi dikumpulkan di pusat. Kalaupun ada pertambahan undi mungkin undi-undian yang dikirakan daripada undi-undi pos. Sebab di saluran-saluran undi dah pun isi borang 14. Dah ditandangani saksi-saksi dah. Cumanya apabila bercampur pula dari pelbagai saluran, kemudian keluar keputusan tak best bagi pihak BN, tiba masanya untuk masukkan pula undi-undi pos. Mungkin begitu kot yang berlaku. Saya tak tahu kerana saya tidak berada di situ. Setakat yang saya lihat, selain dari dakwat kekal yang tak kekal, tiada apa-apa penyelewangan yang dapat dikesan di saluran saya. Tiada nampak warga asing cuba mengundi dan sebagainya. But just because I didn't see it doesn't mean it didn't happen, it only means I didn't see it.

Pukul 1.30 pagi tu saya dah tak larat nak stay up. Tido jugak akhirnya. Bangun-bangun pagi tu, tengok-tengok BN dah dapat simple majority. Sangat sedih. Apa yang diharapkan, Malaysia yang lebih adil dan makmur untuk semua, tidak dapat melalui pilihanraya kali ini. Lain kalilah bak kata penyokong-penyokong BN. InsyaAllah lain kali.

Tetapi di sini saya ingin merumuskan beberapa perkara. Saya telah sebut secara peribadi beberapa kali kepada beberapa orang rakan-rakan saya, yang paling penting daripada pilihanraya kali ini bukanlah samada Pakatan Rakyat menang atau Anwar menjadi perdana menteri. Yang paling penting kali ini ialah rakyat mulai sedar dan lebih celik tentang politik tanah air. Rakyat perlu boleh membezakan antara kerajaan dan parti yang memerintah. Rakyat pelu sedar bahawa mereka tidaklah terikat untuk berterima kasih kepada parti yang memerintah kerana sebenarnya parti tersebut telah diberikan amanah oleh rakyat. Dan sekiranya amanah ini disalahgunakan, mereka perlu menjawab kepada rakyat dan rakyat berhak untuk mengubah parti yang memerintah. Dengan lebih 80% pemilih keluar mengundi, insyaAllah perkara ini sedikit sebanyak telah tercapai.

Semasa saya bertugas sebagai PACA, saya tidak melihat apa-apa penyelewengan yang ketara selain daripada dakwat tak kekal. Tetapi adakah ini pilihanraya yang adil? Bagi saya jauh sekali daripada adil. Even sebelum daripada diumumkan pembubaran parlimen pun, BN telah pun mengungkit-ungkit "jasa" mereka kepada rakyat yang bagi saya sebenarnya boleh dianggap sebagai berkempen dah sebenarnya. Kemudian, dibentang pula manifesto BN selama 3 jam lebih (mengikut apa yang saya dengarlah, tak larat dan tak ingin pun saya nak tengoknya) dan ditawarkan kepada Pakatan Rakyat untuk bentangkan manifesto selama 10 minit. 10 minit? Nak habis baca blog ni pun lebih 10 minit. Nak bentang dan jelaskan manifesto yang dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat secara menyeluruh dalam masa 10 mint? Tak mungkin. Dan lagi, ada pula saya nampak poster kempen, "Undilah Perdana Menteri" dengan ada muka Najib di situ. Mana adil buat begitu. Pertamanya adalah Najib bukannya bertanding sebagai "Perdana Menteri". Apabila parlimen telah dibubarkan, dia bukan lagi boleh dianggap sebagai "Perdana Menteri". Kedua adalah ini sekali lagi bermain dengan sentimen yang mengelirukan ramai rakyat, samada mengundi untuk parti atau mengundi untuk kerajaan. Kerajaan tak bertanding pun. Hanya parti sahaja yang bertanding. "Undilah Perdana Menteri".... Dan banyak lagi perkara-perkara yang memang jelas menyalahgunakan kedudukan sebagai kerajaan untuk berkempen untuk parti. So memang tidak adil. Saya harap kalau Pakatan Rakyat memerintah nanti, adalah orang-orang yang mencadangkan dan akhirnya meluluskan undang-undang supaya Pakatan Rakyat pun tidak boleh buat begini pula. Kalau tak rakyat saman...

Sentimen kaum? Membuak-buak. It makes me sick. Saya membesar dengan kawan-kawan dari pelbagai kaum. Saya bergaul dengan mereka to the point saya boleh makan di rumah mereka dengan yakin bahawa mereka akan paling kurang pun memberi warning sekiranya apa yang saya nak makan atau minum tu tak halal. So saya tiada ragu-ragu. Tiada rasa terasing dan sangsi bahawa mereka mempunyai agenda sendiri untuk menumpaskan Melayu atau nak buat saya tinggalkan agama saya. Never. Tengok-tengok dalam banyak bahan kempen, terutamanya online, "DAP mempunya agenda kristianisasi","DAP mahu menjatuhkan institusi Raja","PAS adalah kuda tunggangan DAP","Melayu akan terpinggir sekiranya DAP memerintah". Bagi saya jelaskan pendapat saya lebih kurang.

Pertama, adakah PAS telah meninggalkan perjuangan Islam mereka kerana "bersekongkol" dengan DAP?
Jawapan saya: Mengapa kerjasama PAS dengan DAP dilihat dengan pandangan serong sedangkan "kerjasama" UMNO dengan MIC, MCA, Gerakan dan banyak lagi tidak mengapa? Banyak kali ditimbulkan bahawa DAP menentang pelaksanaan Hudud, jadi tidak mungkin dapat bersama PAS yang mahu menegakkan Islam (jadi perlu melaksanakan Hudud). Bagi saya, jangankan DAP, ramai juga Melayu Islam sendiri yang akan menentang pelaksaan Hudud sekiranya ditanya dengan jujur. Kerana apa? Kerana mereka takutkan Hudud. Kenapa takutkan Hudud? Kerana tidak faham. Yang tahu potong tangan sahaja. Yang tahu kena rejam sahaja. So apa kena buat? Kenalah jelaskan sehingga faham. Saya yakin bahawa kebanyakkan orang non-muslim pun akan bersetuju dengan kelebihan dan kebaikan pelaksanaan Hudud sekiranya mereka faham. Jadi adakah menjadi masalah DAP menentang Hudud? Tidak menjadi masalah kerana mereka belum lagi faham. Apabila semua telah bersedia, insyaAllah pelaksanaan agama Allah yang selari dengan fitrah manusia ini tidak menjadi apa-apa masalah.

Satu lagi perkara yang sentiasa ditimbulkan adalah "mana mungkin untuk bekerjasama dengan orang kafir". Siapa pemimpin Islam yang paling agung? Rasullullah s.a.w. Apakah peristiwa yang paling penting yang akhirnya membawa kepada pembukaan Mekah dan kemenangan Islam di tanah Arab? Hijrah. Siapa yang menjadi pemandu arah Rasullullah s.a.w. ketika itu? Seorang kafir Quraish. Boleh tak bekerjasama dengan orang kafir? Boleh. So please, jangan mudah tertipu.

Kedua, masalah kristianisasi.
Jawapan saya: Masalah ini tidak bermula dengan DAP. Malah DAP menonjolkan diri sebagai sebuah parti yang sekular (ie terasing daripada agama). So apa cerita nak bawa kristianisasi pulak? Tapi anyhow, sekiranya betul pun, masalah ini tidak bermula dengan DAP. Masalah orang Islam meninggalkan agama Islam adalah masalah orang Islam sendiri. Bukan sahaja orang Islam tak akan tinggalkan Islam, malah orang non-muslim pun akan memeluk agama Islam sekiranya mereka betul-betul faham Islam. Islam is not about being part of a group of people, Islam is about submission to God. To Allah. To submit you have to understand who you are submitting to, and what it means to submit. Penyelesaiannya? Sama seperti Hudu, da'wah dan perjelaskan lagi. Beri kefahaman yang sebenarnya. InsyaAllah, bukan sahaja orang tak akan tinggalkan Islam, malah orang-orang non-muslim pun akan memeluk agama Islam.

Panjang yang amat dah blog ini. Yang pastinya perjuangan belum berakhir. Malah sekiranya hari tu Pakatan Rakyat menang pun, perjuangan ini belum berakhir. Kita sebagai Rakyat kena sentiasa memastikan bahawa mereka yang diberi tanggungjawab sebagai pemimpin dan wakil kita, akan sentiasa melaksanakan yang terbaik untuk Rakyat, tanpa meminta-minta untuk berterima kasih dan dikenang jasa. Bukan sahaja mengutamakan rakyat. Malah tiada keutamaan lain selain Rakyat.

Semoga Allah memberkati bumi bertuah Malaysia ini dan teruslah Malaysia di atas landasan sebagai negara yang adil dan makmur untuk semua rakyatnya (termasuk rakyat-rakyat yang baru dapat IC?)...

Last sekali, majulah sukan untuk negara.. :P back to normal...

Is Blogging No Longer a Thing?

As I embark on my new journey to learn the Rust programming language, I find myself pondering—where have all the blogs gone? In search of pr...